http://www.sempoiwangi.com/p/blog-page.html

11 Petua Penggunaan Minyak Wangi Supaya Bertahan Lebih Lama




Memang ramai yang tahu membeli minyak wangi, tapi berapa ramaikah yang tahu mengguna & memakainya dengan cara yang betul ? Kebiasaannya  lelaki atau wanita umumnya akan menyembur minyak wangi ke baju tanpa mengetahui bahawa cara begini adalah salah kerana bukan sahaja akan merosakkan bau minyak tersebut  (kerana bercampur dengan bau pelembut kain atau wangian cucian sabun) tetapi juga merugikan kuantiti minyak wangi tersebut kerana perlu menggunakannya dengan kuantiti yang banyak untuk menghasilkan bau seperti yang dikehendaki.

Oleh yang demikian, kami ingin berkongsi dengan anda cara memakai perfume dengan cara yang betul dan dapat memastikan agar aroma wangiannya kekal bertahan lebih lama. Berikut 11 petua yang anda boleh cuba dan amalkan;

1) Guna Minyak Wangi Sebelum Siap Berpakaian

Ada beberapa sebab mengapa tips ini merupakan yang terbaik. Pertama, minyak wangi boleh mengotorkan pakaian. Kedua, jika kita menggunakan minyak wangi secara terus pada badan, ia akan diaktifkan oleh haba semulajadi badan kita. Oleh sebab itu, bauan wangi akan kekal lebih lama berbanding sebelumnya.

2) Lembapkan Kulit Sebelum Menggunakan Minyak Wangi

Kajian saintifik menunjukkan bau minyak wangi kekal lebih lama pada kulit berminyak, berbanding kulit kering. Ramai orang melihat kulit berminyak sebagai satu masalah, tetapi sebenarnya ia mempunyai kelebihan di mana boleh mengekalkan bau minyak wangi lebih lama. Oleh itu, jika anda mempunyai kulit kering, lembapkan dahulu dengan menggunakan pelembap yang tidak mempunyai bau sebelum menyembur minyak wangi, ia akan membantu bau wangian tahan lama.

3) Gunakan Selepas Mandi

Selepas mandi adalah masa yang terbaik untuk menggunakan minyak wangi. Ini kerana anggota badan kita telah bersih daripada sebarang bau lain yang mungkin tidak menyenangkan sebelum kita mandi. Keadaan kulit yang bersih dan lembap selepas mandi membantu minyak wangi untuk bertindak dengan lebih berkesan dan optimum. Kesannya, ia akan bertahan lebih lama dan aromanya lebih segar.

4) Suhu & Keadaan Persekitaran Yang Normal

Sebaiknya anda berada di dalam bilik yang bersuhu normal (suhu bilik). Sekiranya ada kipas atau penghawa dingin yang terbuka pastikan anda tidak menyembur minyak wangi dalam keadaan anda berada di hadapan kipas atau penghawa dingin tersebut. Ini bagi mengelakkan minyak wangi yang disembur tadi daripada tidak mengenai badan anda.

5) Guna 1 Jenis Minyak Wangi Sahaja Pada Satu Masa Yang Sama

Setiap minyak wangi mempunyai aroma & kelebihan baunya tersendiri. Sekiranya anda menggunakan perfume lebih daripada satu pada masa yang sama, keharmonian perfume akan hilang. Ini akan hanya merosakkan ciri-ciri setiap perfume dan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Oleh itu, elakkan menggunakan lebih daripada satu jenis perfume pada masa yang sama kerana ia menjejaskan keharmonian bau.

6) Sembur, Bukannya Menggosok

Sangat tak digalakkan untuk menggosok minyak wangi kerana perbuatan mengosok boleh menghancurkan molekul wangian tersebut, lantas menyebabkan bau menjadi berbeza. Sebaliknya, hanya semburkan minyak wangi, kira-kira 15-25 cm daripada kulit kita. Semburan ringan akan menyebarkan bau yang sama rata pada badan.

7) Di Mana Perlu Menyembur Minyak Wangi?

Tempat yang terbaik untuk menggunakan minyak wangi adalah pada titik nadi badan. kita disarankan untuk menyembur minyak wangi pada bahagian belakang telinga, pangkal tekak, pergelangan tangan, siku dan belakang lutut. Dengan cara ini, bauan minyak wangi anda akan bertahan lebih lama.

8) Semburkan Sedikit Minyak Wangi Pada Sikat Rambut

Jika anda mahukan bau minyak wangi bertahan lebih lama, semburkan sedikit minyak wangi pada sikat rambut anda dan gunakannya untuk menyikat rambut anda secara lembut. Dengan cara ini, setiap kali anda bergerak atau berjalan melepasi seseorang, bauan yang indah dan wangi turut disebarkan.

9) Waktu Terbaik Menggunakan Minyak Wangi

Untuk memastikan wangian dari perfume anda berkembang secara baik, sapukan perfume paling kurang 30 minit sebelum anda pergi untuk memberi waktu kepada minyak wangi untuk mesra dengan minyak pada kulit anda.

10) Jangan Gunakan Minyak Wangi Sebelum Membonceng Motosikal

Sekiranya anda bergerak dengan menggunakan motosikal, sebaiknya jangan sembur dahulu minyak wangi anda. Ini kerana faktor "angin kuat" semasa membonceng motosikal selalunya akan menyebabkan aroma minyak wangi anda hilang ketika anda membonceng motosikal. Sebaiknya anda sembur minyak wangi selepas anda sampai ke destinasi yang dituju.

Adalah dicadangkan supaya anda membawa minyak wangi yang disimpan dalam botol kecil bagi memudahkan anda menggunakannya di luar rumah.

11) Simpan Wangian Di Tempat Yang Betul

Lindungi minyak wangi daripada kelembapan, haba dan cahaya. Tempat yang seeloknya ialah kawasan yang sejuk dan kering dan jauh daripada cahaya matahari secara langsung. Selain itu, digalakkan untuk membeli minyak wangi dalam botol semburan kerana ia akan membantu untuk mengelakkan penyejatan aroma dan tindak balas kimia dengan udara.

Selamat mencuba!